2. Model / Teori Pembangunan Prototaip

 



Reka Bentuk Strategi Pengajaran

Reka bentuk pengajaran atau reka bentuk instruksional merujuk kepada suatu proses yang sistematik dalam merancang pengajaran (Smith & Ragan, 2004). Menurut takrifan yang lebih mendalam, reka bentuk instruksional adalah satu disiplin ilmu yang menekankan kepada pengetahuan tentang penghasilan rangka tindakan yang optimum yang merangkumi kepelbagaian kaedah instruksional, gabungan kaedah yang optimum serta dalam situasi yang bagaimana sesuatu model instruksional itu adalah optimum kepada pembelajaran (Reigeluth, 1983). Justeru, selaku guru proses reka bentuk instruksional ini sering kali dilakukan sebagai rutin dalam menjalankan tugas menyampaikan ilmu pelajaran kepada murid-murid. Reka bentuk instruksional ini bertujuan untuk memastikan kandungan yang dirancang adalah tepat dengan penggunaan kaedah, strategi dan pendekatan yang bersesuaian dengan tahap penerimaan kumpulan sasaran iaitu murid / pelajar.

Model Reka Bentuk Instruksional

Terdapat beberapa model reka bentuk instruksional yang diperkenalkan oleh ramai tokoh dalam bidang reka bentuk instruksional, antaranya model ADDIE, ASSURE, SEM, Gagné’s Nine Events of Instructions dan beberapa model yang lain. Oleh itu, Model Gagné’s Nine Events of Instructions telahpun dipilih sebagai asas kepada reka bentuk instruksional bagi tugasan ini. Model ini telah dihuraikan secara mendalam dalam buku berjudul “Conditions of Learning” yang diterbitkan pada tahun 1965 oleh Robert Gagné. Beliau merupakan seorang ahli psikologi pendidikan semasa Perang Dunia ke-2. Beliau telahpun memperkenalkan  sembilan "peristiwa" pengajaran yang memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran, iaitu:
  1. menarik perhatian pelajar,
  2. memaklumkan kepada mereka tentang objektif,
  3. mengimbas kembali pembelajaran terdahulu,
  4. memberikan rangsangan pembelajaran (melalui bahan pembelajaran atau kandungan),
  5. memberi bimbingan pembelajaran,
  6. meningkatkan prestasi murid (melalui amalan)
  7. memberi maklum balas
  8. menilai prestasi murid
  9. meningkatkan pengekalan dan pemindahan pembelajaran (pengetahuan dan kemahiran)




Kesemua sembilan "peristiwa" pengajaran oleh Gagné digunapakai dalam keseluruhan proses mereka bentuk pengajaran dalam tugasan ini. Ianya disesuaikan dengan format Rancangan Pengajaran Harian bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) yang mencadangkan empat fasa pembelajaran iaitu (1) persediaan, (2) imaginasi, (3) perkembangan dan (4) tindakan. Keempat-empat fasa ini merupakan pemeringkatan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan elemen kreativiti dan inovasi (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Huraian bagi empat fasa pembelajaran ini dihuraikan dalam jadual di bawah.


Untuk mengaitkan sembilan peristiwa pengajaran oleh Gagné dengan empat fasa pembelajaran dalam RPH, berikut merupakan pemetaan bagi Sembilan Peristiwa Pengajaran oleh Gagné dalam empat fasa pembelajaran (Jadual 2). Jadual 2 menunjukkan secara terperinci di fasa mana sembilan peristiwa pengajaran oleh Gagné berlaku semasa proses pengajaran dan pembelajaran.


Rujukan:

Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2017). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Matematik Tahun 3. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Reigeluth, C. (1983). Instructional Design Theories and Models: An Overview of Their Current Status. New Jersey: Lawrence Elbraum Associates.

Smith, P., & Ragan, T. (2004). Instructional Design. New Jersey: John Wiley & Sons,.




Catat Ulasan (0)
Terbaru Lebih lama